ISLAM MEMBINA KELUARGA PENYAYANG

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala pujian bagi ALLAH s.w.t , selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekelian alam, juga ke atas keluarga para sahabat dan mereka yang mengambil petunjuk serta beramal dengan sunnahnya sehingga ke hari qiamat.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Al-mukminun: 12-14)

Manusia adalah makhluk Allah yang paling mulia di atas muka bumi ini. Allah menciptakan manusia untuk memakmurkan dunia dan beribadat kepadanya, dan Jiwa manusia ini perlu kepada agama untuk memenuhi keperluan rohani. Perasaan beragama juga perlu untuk memenuhi kebahagiaan hidup. Sekiranya perasaan ini hilang, maka terumbang-ambinglah manusia itu tanpa tujuan dan matlamat hidup.

Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita wajib mempercayai rukun iman yang menyebut tentang hari qiamat, iaitu hari ALLAH S.W.T membangkitkan manusia dari kubur dan menghisab amalan-amalan serta memberi balasan kepada meraka. Sekiranya baik, maka baiklah balasannya dan sekiranya buruk maka buruklah balasannya.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging Yang disempurnakan kejadiannya dan Yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara Yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami); dan Kami pula menetapkan Dalam kandungan rahim (ibu Yang mengandung itu) apa Yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa Yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu Yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula Yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu Yang telah diketahuiNya dahulu. dan (ingatlah satu Bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan Yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman Yang indah permai.

(kedua-dua kenyataan) Yang tersebut membuktikan Bahawa Sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan Sesungguhnya Dia lah Yang menghidupkan makhluk-makhluk Yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ini kerana Islam telah menetapkan peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh manusia sebagai panduan kehidupan mereka. Peraturan dan syariat Islam adalah ciptaan Allah yang hanya disampaikan kepada manusia melalui para Rasul dan Nabi. Manakala Nabi Muhammad s. a. w. pula sebagai nabi yang terakhir untuk seluruh umat manusia di dunia hingga ke hari qiamat.

Oleh itu untuk membina keluarga yang bahagia dan penyayang mestilah mengikut ajaran dan panduan yang digariskan oleh islam. Islam memberi petunjuk kepada manusia bagaimana cara membaiki keadaan hidupnya, mengenal hak dan kewajipan dalam pergaulan, bahkan dalam semua aspek kehidupan,meliputi aspek pekerjaan supaya manusia berbahagia dan untung di dunia dan akhirat. Islam mendidik manusia supaya hidup bersopan, bercakap benar, menghormati ibu bapa,menghormati orang tua, berlaku jujur, malu berbuat dosa, memenuhi tanggungjawab, memelihara amanah, berlaku adil adalah antara contoh sikap yang baik dan berguna. lni kerana kebahagian hidup berjalan atas dasar-dasar yang baik. Manakala perbuatan bercakap dusta, berbuat curang, berlaku kianat, tidak menghormati antara satu sama lain, tidak mendengar pandangan org lain, zalim dan melakukan kekejaman adalah antara sifat yang boleh merosakkan pergaulan dan memutuskan perhubungan.

Pembentukan keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan secara sah mengikut hukum Islam dan syariat nya. Apabila rumah tangga itu dibina dengan sempurna dan sah, maka ia akan mendapat keredhaan dan berkat dari Allah S. W. T. Banyak rumah tangga yang dibina tanpa mengikut landasan hukum syariat menemui kehancuran dan kegagalan seperti kahwin lari tanpa restu keluarga atau pasangan yang cetek pengetahuan tentang agama.

lbu bapa merupakan model kepada anak-anak. Oleh itu ibu bapa perlulah berkelakuan yang sopan dan mulia. Tingkah laku mereka mudah menjadi perhatian dan ikutan anak-anak. Dampingilah anak-anak dengan memberikan kasih-sayang yang sempurna. Luangkan masa untuk berbincang tentang masalah mereka. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian. Sekiranya diabaikan tanggungjawab ini, maka jiwa anak-anak akan merasa kekosongan dan mereka tidak diperlukan oleh ibu bapanya. Mereka akan mencari sesuatu yang dapat memenuhi jiwa mereka di luar rumah. Akibatnya ramai yang terjebak ke kancah maksiat dan dadah, maka porak perandalah keluarga tersebut. Sabda Rasulullah s. a. w yang bermaksud; "Hak anak atas bapanya, supaya membaikkan akhlaknya dan membaikkan namanya ".

Kewajipan ibu bapa ialah, membentuk keperibadian muslim anaknya selaras dengan tuntutan Allah S. W. T. Ini akan membahagaikan hidup mereka di dunia dan akhirat. Apabila jiwa anak-anak telah ditanam dengan sifat taqwa,iaitu mengambil pencegah atau benteng yang dapat mencegah dan memelihara kita daripada sesuatu yang kita takuti, maka kasih sayang dan hormat menghormati wujud dalam keluarga tersebut. Ibu bapa wajib memberikan ilmu dunia mahupun ilmu akhirat kepada anak-anak mereka. Dan ilmu ini tidak cukup hanya belajar di sekolah sahaja bahkan Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka apabila mereka telah tua atau pun telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah s. a. w yang bermaksud; "Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara sahaja iaitu sedekah yang berkekalan, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan doa daripada anak-anak yang soleh".

wa akhiran, marilah kita sama-sama membina @menghayati kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenar. Mudah-mudahan dengan ilmu yang sedikit ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita semua.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
Apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. dan Kami telah mengutus Engkau (Wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

wallahu'alam

Posted by zul fakaar mat ghani